Selasa, 28 Julai 2015

Elakkan Dari Teman Pengkhianat!

"Kisah yang lalu cukup membuatkan aku derita, aku terpedaya dengan tipu muslihat temanku sendiri. Demi mendapatkan keuntungan dan pulangan yang lumayan, aku dijadikan barang dagangan untuk memuaskan nafsu seorang lelaki dan dalam masa yang sama dijadikan boneka untuk menjual benda haram kepada orang lain. Seksanya aku hanya tuhan sahaja yang tahu. Kenapa mesti kau berlaku kejam kepadaku, teman!" Akibat terlalu mempercayai teman yang dianggap seperti adik-beradik akhirnya telah mengheret kamu ke lubuk yang hina. Kamu dijual dan dijadikan barang dagangan untuk mendapatkan pulangan lumayan. Patutkah kamu dilayan seperti itu? Sedangkan sebelum ini kamu tidak melakukan apa-apa kesalahan, bahkan layanan dan pertolongan kamu sudah cukup menggambarkan bahawa kamu seorang teman yang sangat baik. Bagaimana ingin menghapuskan teman yang telah mengkhianati kamu? Jom kita semak.

Senarai hitam

Sekiranya kamu pernah dikenakan oleh teman-teman terdekat, lebih baik kamu senarai hitamkan nama-nama mereka daripada terus menjadi teman baikmu. Bukan apa, nanti tak fasal-fasal kamu juga yang terseksa. Pasti kamu tidak mahu terjerumus ke lubuk yang hina ataupun menjadi pengedar kepada bahan-bahan yang haram? Lagipun untuk apa kamu ingin menempah maut, sedangkan kamu tahu bahawa teman kamu itu merancang untuk memusnahkan masa depan kamu. Oleh itu, berwaspadalah!

Jauhkan diri

Seboleh-bolehnya cubalah menjauhkan diri daripada berkawan dengan individu seperti ini. Ternyata sangat berbahaya buat kamu. Takkan berkudis pun jika kamu hilang seseorang teman kerana teman datang silih berganti. Hilangnya dia tidak bermakna hidup kamu akan menjadi gelap, sebaliknya hidup kamu mungkin akan bertambah ceria. Kamu juga tidak perlu menanggung seksa dan penderitaan yang tak semena-mena. Ayuh kembalikan hidup kamu itu.

Buat aduan

Mungkin pada peringkat awal kamu tidak tahu perancangandan muslihat teman kamu itu. Apatah lagi dia nampak baik dan sangat mengambil berat terhadap kebajikan kamu. Apabila kamu dipelawa untuk melakukan kerja yang boleh mendapat pulangan yang lumayan, namun tidak diberitahu jenis pekerjaannya, pasti teka-teki ini boleh mengundang tanda tanya dalam diri kamu. Jadi pastikan kamu tidak mudah terpedaya dengan perangkap kecilnya itu. langkah terbaik, buat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan selanjutnya dapat diambil dan temanmu itu boleh disoal siasat. 

Selidik latar belakang

Sebelum ingin menjadikan teman kamu itu sebagai kawan baik, sepatutnya kamu selidiki terlebih dahulu latar belakangnya. Jangan mudah percaya pada pertemuan yang pertama. Bahana jawabnya nanti! Lagipun jangan sesekali memandang remeh dengan benda-benda seperti ini. Bagi kamu yang pernah terkena, takkan kamu mahu berdiam diri sahaja? Atau adakah kamu mahu mengulangi perkara yang sama? Jadi fikirkanlah perkara mana yang baik dan buruk. Sayang macam mana sekali persahabatan kamu itu jangalah sampai mengorbankan diri sendiri. Biar teman kamu itu menyelesaikan masalahnya sendiri tanpa mengheret kamu sama. 

Perancangan 

Merancang itu perlu untuk memastikan diri kamu tidak mudah terperangkap. Walaupun teman kamu memberitahu yang dia sudah berubah, namun kebarangkalian untuk dia mengulangi perkara yang sama itu agak tinggi. Oleh itu jangan tertipu ya! Perancangan rapi perlu dibuat dengan agar kamu tahu sama ada dia benar-benar ingin mempergunakan kamu atau tidak. Rambut sama hitam, namun hati lain-lain. Pastikan kamu mewujudkan perasaan kurang percaya kamu kepada teman kerana tak mustahil 'pisang boleh berbuah dua kali'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan