Selasa, 28 Julai 2015

Elakkan Dari Teman Pengkhianat!

"Kisah yang lalu cukup membuatkan aku derita, aku terpedaya dengan tipu muslihat temanku sendiri. Demi mendapatkan keuntungan dan pulangan yang lumayan, aku dijadikan barang dagangan untuk memuaskan nafsu seorang lelaki dan dalam masa yang sama dijadikan boneka untuk menjual benda haram kepada orang lain. Seksanya aku hanya tuhan sahaja yang tahu. Kenapa mesti kau berlaku kejam kepadaku, teman!" Akibat terlalu mempercayai teman yang dianggap seperti adik-beradik akhirnya telah mengheret kamu ke lubuk yang hina. Kamu dijual dan dijadikan barang dagangan untuk mendapatkan pulangan lumayan. Patutkah kamu dilayan seperti itu? Sedangkan sebelum ini kamu tidak melakukan apa-apa kesalahan, bahkan layanan dan pertolongan kamu sudah cukup menggambarkan bahawa kamu seorang teman yang sangat baik. Bagaimana ingin menghapuskan teman yang telah mengkhianati kamu? Jom kita semak.

Senarai hitam

Sekiranya kamu pernah dikenakan oleh teman-teman terdekat, lebih baik kamu senarai hitamkan nama-nama mereka daripada terus menjadi teman baikmu. Bukan apa, nanti tak fasal-fasal kamu juga yang terseksa. Pasti kamu tidak mahu terjerumus ke lubuk yang hina ataupun menjadi pengedar kepada bahan-bahan yang haram? Lagipun untuk apa kamu ingin menempah maut, sedangkan kamu tahu bahawa teman kamu itu merancang untuk memusnahkan masa depan kamu. Oleh itu, berwaspadalah!

Jauhkan diri

Seboleh-bolehnya cubalah menjauhkan diri daripada berkawan dengan individu seperti ini. Ternyata sangat berbahaya buat kamu. Takkan berkudis pun jika kamu hilang seseorang teman kerana teman datang silih berganti. Hilangnya dia tidak bermakna hidup kamu akan menjadi gelap, sebaliknya hidup kamu mungkin akan bertambah ceria. Kamu juga tidak perlu menanggung seksa dan penderitaan yang tak semena-mena. Ayuh kembalikan hidup kamu itu.

Buat aduan

Mungkin pada peringkat awal kamu tidak tahu perancangandan muslihat teman kamu itu. Apatah lagi dia nampak baik dan sangat mengambil berat terhadap kebajikan kamu. Apabila kamu dipelawa untuk melakukan kerja yang boleh mendapat pulangan yang lumayan, namun tidak diberitahu jenis pekerjaannya, pasti teka-teki ini boleh mengundang tanda tanya dalam diri kamu. Jadi pastikan kamu tidak mudah terpedaya dengan perangkap kecilnya itu. langkah terbaik, buat laporan kepada pihak berkuasa agar tindakan selanjutnya dapat diambil dan temanmu itu boleh disoal siasat. 

Selidik latar belakang

Sebelum ingin menjadikan teman kamu itu sebagai kawan baik, sepatutnya kamu selidiki terlebih dahulu latar belakangnya. Jangan mudah percaya pada pertemuan yang pertama. Bahana jawabnya nanti! Lagipun jangan sesekali memandang remeh dengan benda-benda seperti ini. Bagi kamu yang pernah terkena, takkan kamu mahu berdiam diri sahaja? Atau adakah kamu mahu mengulangi perkara yang sama? Jadi fikirkanlah perkara mana yang baik dan buruk. Sayang macam mana sekali persahabatan kamu itu jangalah sampai mengorbankan diri sendiri. Biar teman kamu itu menyelesaikan masalahnya sendiri tanpa mengheret kamu sama. 

Perancangan 

Merancang itu perlu untuk memastikan diri kamu tidak mudah terperangkap. Walaupun teman kamu memberitahu yang dia sudah berubah, namun kebarangkalian untuk dia mengulangi perkara yang sama itu agak tinggi. Oleh itu jangan tertipu ya! Perancangan rapi perlu dibuat dengan agar kamu tahu sama ada dia benar-benar ingin mempergunakan kamu atau tidak. Rambut sama hitam, namun hati lain-lain. Pastikan kamu mewujudkan perasaan kurang percaya kamu kepada teman kerana tak mustahil 'pisang boleh berbuah dua kali'.

Ahad, 26 Julai 2015

Tips Tangani Pergaduhan

Pergaduhan pasti boleh menggugat sesebuah hubungan persahabatan. Pergaduhan atau perselisihan pendapat antara sahabat adalah adalah perkara biasa yang pasti pernah dilalui oleh kamu atau sesiap sahaja. Mungkin kamu tidak tahu dalam pergaduhan akan tercetus di dalam hubungan persahabatan ni masih wujud beberapa etika yang perlu kamu pegang agar hubungan kamu dengan sahabat tidak menjadi semakin parah atau terus terputus. Nak tahu apa rahsianya? Jom kita semak bersama-sama.

1. Penjelasan

Ramai yang mengambil keputusan menjauhkan diri sebagai salah satu cara untuk 'cooling down' atau lari dari ketegangan. Sebenarnya, kamu boleh bersikap sedemikian tapi janganlah terlalu lama menjauhkan diri sehinga tiada sebarang khabar berita yang kamu kirimkan untuk sahabat. Mungkin sahabat pula akan beranggapan bahawa kamu tidak mahu lagi bersahabat dengannya. Sebaiknya, jelaskan kepada sahabat tentang keputusan kamu untuk menjauhkan diri buat seketika itu. Jadi, tidaklah sahabat salah sangka dengan kamu. 

2. Mengata/menjaja cerita

Lazimnya, sewaktu bergaduh kita akan hanya teringatkan tentang perkara yang negatif sahaja tentang sahabat, Segala kebaikan yang pernah dilakukannya akan hilang begitu sahaja dek dikuasai oleh perasaan marah terhadapnya. Jangan pula kamu menjaja cerita yang tidak baik tentang sahabat kepada rakan-rakan yang lainkerana perlakuan ini bakal merugikan diri sendiri. Tiada untungnya kepada diri kamu kerana kamu bakal menambah bilangan musuh jika kamu bersikap sedemikian. 

3. Mempengaruhi rakan-rakan lain

Mengapa perlu mempengaruhi orang lain agar sama-sama memusuhi sahabat kamu itu? Kamu perlu berfiiran lebih matang dan beranikan diri untuk menghadapi masalah ini secara bersendirian. Jangan libatkan orang lain dalam masalah peribadi kamu kerana ia bakal menimbulkan masalah yang lebih besar di kemudian hari. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Jadi jangan sengaja memperbesar-besarkan masalah yang kecil. Selagi mampu diperbaiki, lebih baik kamu berusaha untuk menjernihkan perhubungan kamu dengan sahabat yang terjejas itu.

4. Lari dari masalah

Jangan terlalu menunjukkan rasa permusuhan kamu kepada sahabat. Contohnya, kamu menjauhkan diri bila si sahabat cuba mendekati kamu atau kamu sengaja menjeling atau tersneyum sinis setiap kali berhampiran dengan sahabat. Masalah tidak akan selesai jika kamu terus bersikap sedemikian. JIka kamu mempamerkan sikap sedemikian, ini bermakna kamu sengaja lari dari masalah dan tiada inisiatif untuk memulihkan perhubungan kamu dengan sahabat. 

Jangan Takut Ucapkan Maaf

Pernahkah kamu berasa menyesal di atas kesilapan dan kesalahan yang sudah kamu lakukan terhadap sahabat? Dan kamu tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk menjelaskan rasa kesal kamu itu kepada sahabatmu. Sebenarnya kamu tidak perlu takut atau ragu-ragu untuk menjelaskan tetang kedudukan sebenar kepada sahabat kerana ungkapan kata maaf adalah penyelamat kepada perhubungan kamu itu. Setelah memohon maaf dengan sepenuh hati kepada sahabat, bukti rasa kesal kamu itu dengan;

1. Menyentuh perasaan sahabat dengan mengirimkan sekeping kad ucapan maaf sebagai tanda kesungguhan kamu memohon maaf darinya.

2. Mempamerkan sikap rendah diri terhadap sahabat dengan mengakui kesilapan diri. Pasti sahabat akan lebih menghargai ucapan maaf  dari kamu itu dan sekali gus berasa benar-benar yakin dengan kesungguhan serta keikhlasan kamu untuk menjernihkan semula keadaan.

3. Jika sedang bercinta, bunga dijadikan sebagai satu pemberian yang paling istimewa. Mengapa kamu tidak terus mengaplikasikan di dalam hubungan persahabatan? Cuba kirimkan sejambak bunga kepada sahabat sejurus kamu memohon kata maaf darinya. Sahabat pasti terharu dengan kesungguhan kamu itu. Jika kamu merasakan sejambak bunga kurang sesuai, apa kata kamu gantikkannya dengan kiriman coklat istimewa pula. Banyak cara yang boleh kamu lakukan dalam usaha membuktikan  kesungguhan dan keikhlasan kamu sewaktu memohon maaf dari sahabat. 

4. Iringi ucapan maaf dengan titisan air mata. Tak salah jika kamu menangis di hadapan sahabat tapi kamu perlulah benar-benar ikhlas dan jujur. Dan bukan menangis kerana terpaksa atau berlakon. Pasti sahabat akan berasa lebih terharu dengan kamu. 

5. JIka kesalahan yang kamu lakukan itu benar-benar besar dan terlalu sukar untuk dimaafkan oleh sahabat, maka tidak salahlah jika kamu cuba melutut dan merayu darinya. Biasanya jika sampai ke tahap ini kamu ternyata benar-benar bersalah terhadapnya. Kamu pasti sanggup melakukannya jika kamu masih menyayangi hubungan persahabatan antara kamu dan dia. 

Sabtu, 25 Julai 2015

10 'Rules' Klik Selamanya

Ada 10 larangan keras yang perlu kamu jauhi jika kamu berhasrat untuk mempertahankan hubungan persahabatan yang sedang kamu layari itu. Pastikan kamu jauhi 10 larangan agar hubungan persahabatan kamu mampu berjalan dengan lancar untuk selama-lamanya!

Pentingkan diri sendiri 

Sewaktu membuat sesuatu keputusan, pastikan kamu dan sahabat saling berbincang terlebih dahulu. Carilah kata sepakat agar kedua-dua belah pihak berpuas hati dengan tindakan yang bakal dilakukan. Sebaiknya, dalam membuat sesuatu keputusan, fikirlah hati dan perasaan orang lain juga. Jauhi sikap pentingkan diri sendiri. Malah, kamu dan sahabat perlu saling berkongsi masalah dan bantu membantu antara satu sama lain agar keselesaan dan keamanan wujud dalam hubungan kamu. 

Hipokrit

Sikap 'depan cakap lain...belakang cakap lain' ternyata boleh menjadi perosak no. 1 dalam sesebuah hubungan persahabatan. Di depan sahabat kamu tak putus-putus memujinya, tapi bila di belakangnya macam-macam pula yang kamu katakan dan mengutuknya sesuka hati. Lebih parah lagi jika kamu sanggup menghebahkan cerita-cerita palsu mengenai sahabat kepada rakan-rakan yang lain. Apa gunanya bersahabat sekiranya kamu ataupun sahabat memiliki sikap sedemikian? Kejujuran dan keikhlasan penting sewaktu bersahabat. Lantara itu, peliharalah hubungan kamu itu dengan penuh keikhlasan

Buruk Sangka

Jangan mempertikai kebaikan mahupun keikhlasan seorang sahabat. Setiap kali sahabat cuba membantu kamu, ucapkan sahaja terima kasih kepadanya. Jika kamu mula ragu-ragu terhadap sahabat. Ternyata tiada makna lagi hubungan persahabatan kamu itu. Berbincanglah dengan sahabat jika perasaan curiga itu tiba-tiba menghantui diri kamu kerana setiap masalah pasti ada punca dan jalan penyelesaiannya. 

Bertengkar

Tidak semua hubungan persahabatan yang berlangsung itu mampu berjalan lancar tanpa tercetusnya sebarang pergaduhan. Meskipun bersahabat, pergaduhan masih boleh berlaku. Ada kalanya pergaduhan mampu menjadikan hubungan kamu dengan sahabat menjadi bertambah baik apabila masing-masing berjaya mencari jalan penyelesaian yang positif di akhir sebuah pergaduhan itu. Lantaran itu, kamu dan sahabat perlu saling menginsafi dan sedia bermaaf-maafan di antara satu sama lain jika berlakunya sesuatu pergaduhan. 

Cemburu

Raikanlah sesuatu kejayaan yang dikecap itu bersama-sama. Jauhi sifat iri hati dan dengki antara satu sama lain. Berfikirlah secara positif. Setiap insan di dunia ini ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Begitu juga antara kamu dan sahabat. Terimalah kekurangan dan kelebihan masing-masing secara terbuka. Atau mungkin juga kali ini nasib menyebelahi sahabat kamu itu, esok/lusa pasti akan tiba giliran kamu pula meraikan kejayaan untuk diri sendiri. 

Sambil Lewa

Sewaktu sahabat sedang meluahkan isi hatinya, kamu perlu mendengarnya dengan bersungguh-sungguh. Jika perlu luahkan pandangan dan pendapat kamu secara neutral agar si sahabat berasa selesa untuk terus meluahkan dilema yang sedang membelenggu dirinya. Jadilah pendengar yang terbaik kepada sahabat. 

Mengkritik

Kritikan terbahagi kepada dua iaitu positif dan negetif. Sebagai sahabat tidak salah kamu ingin menyuarakan kritikan tapi perlualah kena dengan caranya. Tidak salah jika kamu ingin menegur sikap seorang sahabat, tetapi sebaiknya gunalah bahasa yang lembut, di tempat yang sesuai dan jangan sampai menyinggung perasaannya. 

Tikam dari belakang

Kita sering mendengar istilah 'kawan makan kawan'. Tidak perlu meneruskan hubungan persahabatan dengannya jika jelas si sahabat memiliki sikap sdemikian. Mengkhianati seorang sahabat ibaratnya sama seperti membunuh darah daging sendiri. Jadi jangan sesekali kamu memiliki sikap sedemikian!

Pemarah

Semua orang memiliki emosi marah dan berhak untuk marah. Namun kamu perlu bijak mengawal perasaan marah itu agar tidak menyakiti hati dan perasaan orang lain. Pernahkah kamu tefikir bahawa setiap kali kamu marah, kamu bakal kehilangan seorang rakan karib? Malah bukan itu sahaja, orang sekelililng kamu pasti akan jelik dengan sikap pemarah kamu itu. Sebaiknya jauhilah dari sikap pemarah kerana ia merugikan diri sendiri. 

Mengongkong

Kebebasan adalah hak milik mutlak individu. Bersahabat bukan bererti masing-masing perlu saling telunjuk antara satu sama lain. Kecapi kebebasan itu bersama-sama kerana ia lebih menyeronokkan. Jangan biarkan diri kamu dikongkong dan mengongkong orang lain.