Sabtu, 25 Julai 2015

10 'Rules' Klik Selamanya

Ada 10 larangan keras yang perlu kamu jauhi jika kamu berhasrat untuk mempertahankan hubungan persahabatan yang sedang kamu layari itu. Pastikan kamu jauhi 10 larangan agar hubungan persahabatan kamu mampu berjalan dengan lancar untuk selama-lamanya!

Pentingkan diri sendiri 

Sewaktu membuat sesuatu keputusan, pastikan kamu dan sahabat saling berbincang terlebih dahulu. Carilah kata sepakat agar kedua-dua belah pihak berpuas hati dengan tindakan yang bakal dilakukan. Sebaiknya, dalam membuat sesuatu keputusan, fikirlah hati dan perasaan orang lain juga. Jauhi sikap pentingkan diri sendiri. Malah, kamu dan sahabat perlu saling berkongsi masalah dan bantu membantu antara satu sama lain agar keselesaan dan keamanan wujud dalam hubungan kamu. 

Hipokrit

Sikap 'depan cakap lain...belakang cakap lain' ternyata boleh menjadi perosak no. 1 dalam sesebuah hubungan persahabatan. Di depan sahabat kamu tak putus-putus memujinya, tapi bila di belakangnya macam-macam pula yang kamu katakan dan mengutuknya sesuka hati. Lebih parah lagi jika kamu sanggup menghebahkan cerita-cerita palsu mengenai sahabat kepada rakan-rakan yang lain. Apa gunanya bersahabat sekiranya kamu ataupun sahabat memiliki sikap sedemikian? Kejujuran dan keikhlasan penting sewaktu bersahabat. Lantara itu, peliharalah hubungan kamu itu dengan penuh keikhlasan

Buruk Sangka

Jangan mempertikai kebaikan mahupun keikhlasan seorang sahabat. Setiap kali sahabat cuba membantu kamu, ucapkan sahaja terima kasih kepadanya. Jika kamu mula ragu-ragu terhadap sahabat. Ternyata tiada makna lagi hubungan persahabatan kamu itu. Berbincanglah dengan sahabat jika perasaan curiga itu tiba-tiba menghantui diri kamu kerana setiap masalah pasti ada punca dan jalan penyelesaiannya. 

Bertengkar

Tidak semua hubungan persahabatan yang berlangsung itu mampu berjalan lancar tanpa tercetusnya sebarang pergaduhan. Meskipun bersahabat, pergaduhan masih boleh berlaku. Ada kalanya pergaduhan mampu menjadikan hubungan kamu dengan sahabat menjadi bertambah baik apabila masing-masing berjaya mencari jalan penyelesaian yang positif di akhir sebuah pergaduhan itu. Lantaran itu, kamu dan sahabat perlu saling menginsafi dan sedia bermaaf-maafan di antara satu sama lain jika berlakunya sesuatu pergaduhan. 

Cemburu

Raikanlah sesuatu kejayaan yang dikecap itu bersama-sama. Jauhi sifat iri hati dan dengki antara satu sama lain. Berfikirlah secara positif. Setiap insan di dunia ini ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Begitu juga antara kamu dan sahabat. Terimalah kekurangan dan kelebihan masing-masing secara terbuka. Atau mungkin juga kali ini nasib menyebelahi sahabat kamu itu, esok/lusa pasti akan tiba giliran kamu pula meraikan kejayaan untuk diri sendiri. 

Sambil Lewa

Sewaktu sahabat sedang meluahkan isi hatinya, kamu perlu mendengarnya dengan bersungguh-sungguh. Jika perlu luahkan pandangan dan pendapat kamu secara neutral agar si sahabat berasa selesa untuk terus meluahkan dilema yang sedang membelenggu dirinya. Jadilah pendengar yang terbaik kepada sahabat. 

Mengkritik

Kritikan terbahagi kepada dua iaitu positif dan negetif. Sebagai sahabat tidak salah kamu ingin menyuarakan kritikan tapi perlualah kena dengan caranya. Tidak salah jika kamu ingin menegur sikap seorang sahabat, tetapi sebaiknya gunalah bahasa yang lembut, di tempat yang sesuai dan jangan sampai menyinggung perasaannya. 

Tikam dari belakang

Kita sering mendengar istilah 'kawan makan kawan'. Tidak perlu meneruskan hubungan persahabatan dengannya jika jelas si sahabat memiliki sikap sdemikian. Mengkhianati seorang sahabat ibaratnya sama seperti membunuh darah daging sendiri. Jadi jangan sesekali kamu memiliki sikap sedemikian!

Pemarah

Semua orang memiliki emosi marah dan berhak untuk marah. Namun kamu perlu bijak mengawal perasaan marah itu agar tidak menyakiti hati dan perasaan orang lain. Pernahkah kamu tefikir bahawa setiap kali kamu marah, kamu bakal kehilangan seorang rakan karib? Malah bukan itu sahaja, orang sekelililng kamu pasti akan jelik dengan sikap pemarah kamu itu. Sebaiknya jauhilah dari sikap pemarah kerana ia merugikan diri sendiri. 

Mengongkong

Kebebasan adalah hak milik mutlak individu. Bersahabat bukan bererti masing-masing perlu saling telunjuk antara satu sama lain. Kecapi kebebasan itu bersama-sama kerana ia lebih menyeronokkan. Jangan biarkan diri kamu dikongkong dan mengongkong orang lain. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan