Khamis, 13 Ogos 2015

Akrab Tapi Perlu Beringat!!!

Dibandingkan keluarganya sendiri, kebiasaannya kita lebih tahu siapa sahabat kita terutama dari segi negatifnya. Mulai dari caranya berhadapan dengan menghadapi masalah sehinggalah hal-hal nakal yang dilakukan bersama teman lelakinya. Semua ada dalam poket kamu. Oleh itu, kalau kamu sudah hafal 'belakang' sahabatmu itu kamu harus bijak memilih mana yang baik dan buruk. Jangan terlalu baik sehinggakan kamu sendiri yang mendapat susah. Ambil tip berikut sebagai panduan.

Tidak Boleh Di Percayai


Paling selesa apabila kita berniaga dengan orang-orang yang boleh dipercayai kerana kita tahu kualiti mereka dan tidak perlu bimbang ditipu. Namun hindari berniaga dengan sahabat yang kita sudah tahu sukar dipercayai. Misalnya suka cakap besar dan lebih teruk lagi mark up harga berlebihan serta bawa lari duit. Daripada mempertaruhkan persahabatan sekaligus perniagaan yang baru sahaja kita bina lebih baik cari rakan niaga lain. Harus diingat sahabat yang baik untuk kamu gelak ketawa tidak semestinya dia mampu jadi sahabat yang baik untuk kamu berniaga ataupun rakan mencari wang tambahan.


Tidak Berpotensi 


Melihat sahabat kamu yang menganggur memanglah simpati. Apalagi kalau dia tidak berhenti meminta pertolongan kamu mendapat pekerjaan untuknya. Bukan satu hal yang mustahil apabila kebetulan syarikat kita bekerja perlukan pekerja kamu pantas mencadangkan namanya pada pihak atasan. Jika sahabat kamu memang seorang yang berpotensi tidak ada masalah untuk kamu mencadangkan dia pada bos kamu. Namun bagaimana kalau dia sudah terkenal dengan sikap yang malas, kaki ponteng dan pernah ada rekod yang buruk di tempat kerjanya dahulu. Pastinya kamu harus fikir dua atau tiga kali sebelum perkenalkan dia pada bos kamu. Silap-silap hari bulan nama baik kamu yang jadi taruhan. Pihak atasan hilang kepercayaan pada kamu. Jadi hati-hati kerana masalah ini melibatkan masa depan kamu. 


Penghutang 

Wang selalu jadi isu paling sensitif tidak kiralah serapat mana pun hubungan kamu dan si dia. Jadi kalau kamu sudah hafal 'track-record'nya sebagai orang yang suka berhutang dan jarang membayar semula hutang jadi janganlah terlalu baik hati meminjamkan wang dalam jumlah yang besar. Sahabat jenis ini kalau kamu ingin bantu dia pinjamkan wang ikhlas tanpa harapkan hutang kamu dibayar semula. Pinjaman yang di buat mestilah mengikut kemampuan kamu sahaja. Jadi kalau dia buat-buat lupa dengan hutangnya kamu tidaklah begitu marah dan ralat. Lebih-lebih lagi kalau kamu tahu wang yang di gunakan adalah untuk hal-hal yang tidak penting. 

Terlalu Manja

Jangan pernah sekalipun terfikir untuk mengajak sahabatmu yang ala-ala manja untuk bercuti ala 'backpacker'. Bukanlah kamu harus pilih kasih tetapi percayalah sifat manjanya pasti akan menyusahkan kamu. Misalnya, dia mahu ke tandas mahu kamu menemaninya dan apabila sakit luka kamulah yang akan di lantik menjadi jururawat peribadinya. Setiap masa kamu perlu berada di sisinya. Nanti yang rugi kamu juga. Niat untuk berhibur bertukar menjadi terpaksa kerana sikap manja sahabatmu. Kalau sampai hilang kesabaran itu tidak mustahil ianya akan berakhir dengan pergaduhan. 

Tidak Terurus

Kamu merancang untuk berkahwin dalam waktu terdekat dan meminta bantuan teman-teman untuk menjadi pembantu. Boleh sahaja...tetapi haruslah memberi tugas sesuai dengan keperibadian dan kemapuan mereka. Sekiranya kamu tahu sahabatmu itu seorang yang kelam-kabut dan tidak terurus elakkan daripada memberi tugas menghantar kad jemputan. Mungkin ada jemputan kamu yang tidak sampai kadnya. Paling baik minta sahabatmu yang kelam-kabut itu datang sebagai tetamu sahaja. Itu lebih baik daripada kamu bermasam muka dengannya di kemudian hari. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan